Saturday, 27 June 2009

Sekolah adalah tapak awal untuk tentukan masa depan

Petikan dari Utusan Borneo Online
Oleh Florence Nervyn

SIBU: Para pelajar digesa menyiapkan diri sebagai modal insan yang mampu menyahut cabaran Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menteri Kewangan II Dato Sri Wong Soon Koh berkata, peringkat sekolah dianggap sebagai tapak awal para pelajar dalam menentu arah tuju mereka pada masa depan.

“Oleh itu, kerajaan negeri amat memerlukan peranan sekolah dan pelajar dalam melahirkan golongan belia yang bertaraf modal insan dalam usaha memenuhi keperluan tenaga kerja dalam SCORE kelak,” jelasnya.

Wong yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam berharap agar usaha Yayasan Sarawak mampu memberi dorongan kepada para pelajar untuk terus mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Kita seharusnya bersyukur kerana atas nikmat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan, maka kita dapat melihat ramai pelajar yang menerima hadiah pelajar cemerlang Yayasan Sarawak.

“Ini menunjukkan dan membuktikan bahawa mutu pendidikan di negeri Sarawak telah mencapai tahap yang membanggakan,” jelasnya.

Berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Yayasan Sarawak 2009 Bahagian Sibu, beliau menegaskan bahawa kejayaan yang dikecapi merupakan hasil usaha gigih dan kesungguhan serta komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Kerajaan negeri telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama dalam pembangunan negeri ini,” ujarnya pada majlis yang berlangsung di Dewan Centenary Mill Hill De La Salle, SMK Sacred Heart di sini.

Wong memberitahu, kejayaan para pelajar diperolehi hasil galakan, dorongan dan tunjuk ajar guru di peringkat sekolah dengan berperanan sebagai pemimpin, perancang, pembimbing kepada pelajar.

Sementara ibu bapa katanya, juga telah membuktikan bahawa peranan mereka sangat penting dalam mengasuh dan mendidik anak-anak sehingga mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik.

“Kita sedar bahawa hanya anak-anak yang berpendidikan dan bersahsiah tinggi yang mampu mengubah nasib dan masa depan negara yang lebih sejahtera,” jelas beliau.

Tambah beliau, kejayaan yang dikecapi oleh seseorang individu adalah hasil daripada perancangan yang teratur.

“Individu ini juga memiliki semangat yang membara, matlamat yang jelas, usaha yang gigih dan tindakan yang berterusan sehingga mampu mencapai kejayaan dalam kehidupannya,” jelasnya sambil menambah sesiapa yang ingin cemerlang dalam kehidupan haruslah memiliki sifat-sifat tersebut.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Samat Junai, Ahli Dewan Undangan Negeri Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sibu Wong Chong Kung.

Seramai 967 pelajar dari Bahagian Sibu dipilih menerima hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak dengan jumlah perbelanjaan RM245,700.

Para pelajar cemerlang dianugerahkan dengan sijil penghargaan dan saguhati dalam bentuk baucar Sijil Simpanan Nasional bernilai RM100 untuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (RM200), Sijil Pelajaran Malaysia (RM500) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (RM700).

Secara keseluruhan, dari Bahagian Sibu terdapat 345 pelajar cemerlang dalam UPSR, PMR (340), SPM (271) dan STPM (11).

No comments:

Post a Comment