Tuesday, 23 June 2009

Pelajar perlu kreatif dan inovatif

Petikan dari Utusan Borneo

Oleh Mahathir Haroun

Kemahiran berasaskan teknologi penting bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang serba canggih sekarang

KUCHING: Warga pendidik harus berusaha melengkapkan para pelajar dengan kemahiran berasaskan teknologi bagi membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang serba canggih sekarang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof berkata, para guru perlu memainkan peranan penting untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berdaya saing dan berdaya tahan pada masa sekarang dan akan datang.

Beliau berkata, keupayaan para pelajar dalam bidang teknologi juga perlu dimulakan pada peringkat akar umbi lagi bagi membolehkan mereka bersedia lebih awal.

“Di sinilah cabaran yang lebih besar kita (guru) untuk melihat kepada masa depan dan cabaran yang bakal dihadapi oleh para pelajar.

“Kita perlu memupuk minat pelajar terhadap bidang teknologi terutama melibatkan kreativiti dan inovasi sejak mereka kecil lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Malam Ramah Mesra Pendidik 2009 di sini, malam kelmarin.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sekiranya para guru mempunyai idea terbaru untuk menarik minat pelajar dalam bidang teknologi maka mereka perlu ketengahkan idea-idea tersebut.

“Ia (idea baru) amat penting bagi membolehkan para pelajar menempuhi cabaran masa depan dengan memiliki kemahiran yang secukupnya.

“Ini kerana pada masa akan datang, bukan kelayakan akademik sahaja yang diperlukan tetapi juga kekuatan dalaman terutama dalam bidang teknologi bagi membolehkan mereka bersaing.

“Mereka tidak lagi bersaing sesama kita di negara ini, malah mereka akan bersaing untuk menerokai pasaran semasa yang terlalu luas di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengadakan Program Minggu Kreativiti dan Inovasi Peringkat Negeri di Kompleks Pelancongan Sarawak dari 14 hingga 16 Ogos ini.

“Ia bertujuan mempamerkan segala produk kreatif dan inovatif daripada masyarakat tempatan.

“Melalui program ini, kita (MOSTI) akan dapat mengenal pasti idea-idea baru di peringkat akar umbi supaya dapat digabung dan dibangunkan pada pringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan, Sarawak merupakan negeri pertama yang mengadakan program seperti itu sebelum Tahun Kreativiti dan Inovasi diadakan pada tahun depan.

Pada majlis berkenaan, Fadillah turut menyumbang sebanyak RM5,000 kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Padawan.

No comments:

Post a Comment