Wednesday, 22 April 2009

Kempen Beli Barangan Malaysia Bukan Sekadar Melepas Batuk Di Tangga



HARGA RENDAH, MUTU TINGGI... Mydin Mall USJ di Subang Jaya merupakan antara hypermarket yang banyak mempromosikan produk tempatan sebagai menyahut kempen beli barangan Malaysia. Pengurus Kanan (Merchandising) Mydin Mohamed Holdings Bhd, Norman Rajen Abdullah berkata Mydin, yang memulakan operasi pemborongan dan peruncitan lebih 50 tahun lalu, sentiasa memberi keutamaan kepada produk keluaran tempatan. Foto: BERNAMA
Kempen Beli Barangan Malaysia Bukan Sekadar Melepas Batuk Di Tangga

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Peluang untuk memasarkan produk di hypermarket pastinya menjadi impian kebanyakan usahawan yang berkecimpung di dalam bidang pengeluaran. Pastinya juga peluang ini bukan datang menggolek.

Bagi Zaleha Mohamad, pengusaha produk Roselle, impian ini menjadi kenyataan menerusi program Kempen Beli Barangan Malaysia yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau mendapat kepercayaan kementerian itu untuk memasarkan produknya di Pasar raya Borong Mydin USJ, Subang Jaya semasa ekspo perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia awal Januari lalu.

"Selepas tiga tahun, baru saya berpeluang untuk melihat produk saya akhirnya mendapat tempat di atas rak hypermarket," kata Zaleha yang ditemui di Pasar raya Borong Mydin USJ, Subang Jaya baru-baru ini.

Sebelum menceburi bidang perniagaan, Zaleha pernah berkhidmat sebagai penyelidik di Bahagian Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia.

Di samping kordial Roselle yang dihasilkan di kilangnya di Seri Kembangan, syarikat Zaleha, Erarose Food Industries juga mengeluarkan produk makanan lain seperti teh, jem dan jus Roselle.

STRATEGI KERAJAAN

Justeru, Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Jan lalu ternyata bukan semata-mata sebagai strategi kerajaan untuk merancakkan pasaran domestik di tengah-tengah kemalapan ekonomi global.

Kempen itu juga turut "membuka pintu" dan "memberi tempat" kepada pengusaha seperti Zaleha dan juga ramai lagi usahawan tempatan lain yang mungkin sebelum ini terpinggir daripada arus kerancakan perniagaan moden pasar raya dan hypermarket.

Kempen ini turut memberi peluang keemasan untuk usahawan tempatan membuktikan kemampuan mereka menghasilkan produk yang berkualiti dan diterima ramai.

Bermula di Mydin Mall Subang Jaya, Ekspo Perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia kemudian beralih lokasi ke Aeon Jusco AU2 (17 Feb- 1 Mac), Giant Putra Height (2 Mac) dan Tesco Melaka (14-22 Mac).

Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu Bernama, Ekspo Perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia ini akan diteruskan di beberapa buah negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.

Mengikut perancangan yang dibuat kementerian itu, Ekspo Perdagangan yang seterusnya akan diadakan di Sandakan, Sabah (10-15 April), Terengganu (23-27 April), Johor (6-10 Mei), Kudat, Sabah (10-14 Mei), Ipoh, Perak (29 Mei-2 Jun), Tuaran, Sabah (2-7 Jun), Kuantan, Pahang (10-14 Jun) Sibu, Sarawak (27-29 Jun), Tawau, Sabah (1-5 Julai), Negeri Sembilan (23-27 Julai), Miri, Sarawak (30 Julai-1 Ogos), Bintulu, Sarawak (28-30 Ogos), Kuching, Sarawak (29-31 Okt).

"Tarikh pelaksanaan ekspo ini tertakluk kepada perubahan. Di samping itu, pihak kami juga merancang mengadakan Ekspo Perdagangan Mega Kempen Beli Barangan Malaysia di Kuala Lumpur pada Jun atau Julai.

"Diharapkan kempen ini akan menggalakkan perbelanjaan domestik dan membantu peniaga meneruskan perniagaan mereka dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini.

"Jika ini berlaku, ia pasti akan menurunkan pergantungan kita kepada eskport," katanya Mohamed Elias di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

BUKA PELUANG

Sepanjang berlangsungnya ekspo perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia, pelbagai produk keluaran tempatan telah dipamer dan dijual termasuk barang makanan dan minuman, kraftangan dan perabot, peralatan elektrik, automobil dan juga perkhidmatan.

Dalam pemilihan pengusaha dan produk, kementerian itu memberi keutamaan kepada produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan, di mana ekspo berkenaan diadakan di samping pembabitan pengusaha dari negeri-negeri lain.

"Fokus kami sudah tentunya memperkenal produk tempatan yang berkualiti dan berjenama tetapi tidak dikenali ramai. Kami berharap orang ramai akan sedar bahawa memang ada produk keluaran tempatan yang berkualiti dan ada di antaranya yang sudah mendapat tempat di pasaran eksport. Contohnya minuman dalam tin yang dihasilkan syarikat Metro Perda Sdn.Bhd.

"Kami juga berharap melalui usaha ini ekonomi domestik akan terus berkembang. Jika pembelian domestik tidak berlaku, mungkin ada syarikat yang terpaksa menutup operasi dan memberhentikan pekerja mereka," kata Mohamed Elias.

Bagi yang terpilih untuk mempamer dan memasarkan produk mereka sepanjang tempoh kempen ini dilaksanakan, peluang ini sebenarnya bukan mudah untuk diperoleh.

Ia amat menjimatkan kos memandangkan penyertaan ialah percuma. Menurut Mohamed Elias, pihaknya menyediakan semua kemudahan kepada pempamer seperti gerai, keperluan logistik, promosi dan pengiklanan.

"Menyewa sendiri booth di pasar raya atau hypermarket mungkin membabitkan kos yang besar dalam jangka masa seminggu atau sebulan. Di bawah program ini, mereka hanya perlu datang dan tekun menjual barang mereka," katanya.

Mohamed Elias juga menjelaskan bahawa bagi pengusaha yang masih belum mendapat peluang untuk menyertai ekspo perdagangan ini, peluang untuk berbuat demikian masih terbuka luas. Mereka hanya perlu menghubungi Bahagian Pembangunan Perniagaan kementerian itu di Putrajaya atau di pejabat negeri.

"Jika produk yang dikeluarkan memenuhi kriteria yang ditetapkan, kami akan menjemput mereka untuk mengambil bahagian di dalam program ini," kata Mohamed Elias yang menambah, kempen ini mungkin akan diteruskan pada tahun depan bergantung kepada keadaan ekonomi global.

SUDAH LAMA DIAMALKAN

Mereka yang berkunjung ke Pasar raya Borong Mydin USJ, Subang Jaya boleh melihat sendiri banyak produk buatan Malaysia yang memenuhi rak-rak di hypermarket itu.

Rak-rak khas turut disediakan untuk menempatkan produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengikut negeri di Malaysia.

Usaha yang dibuat oleh pengurusan Mydin ini bagaimanapun menurut Norman Rajen Abdullah, Pengurus Kanan (Merchandising) Mydin Mohamed Holdings Berhad bukanlah satu perkara baru.

Jelasnya, Mydin yang memulakan operasi pemborongan dan peruncitan lebih 50 tahun yang lalu sentiasa memberi keutamaan kepada produk keluaran tempatan termasuk IKS.

"Kami sudah lama mengamalkan prinsip membantu pengusaha tempatan. Jika kami tidak menyokong mereka, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Kami tahu pengusaha Bumiputera khususnya berhadapan dengan pelbagai halangan atau kerenah untuk memasuki pasar raya atau hypermarket.

"Pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen ini di tengah-tengah krisis ekonomi bagi membantu mengurangkan kesannya terhadap rakyat. Kerajaan juga membelanjakan wang yang banyak untuk mempromosi kempen ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang barangan buatan Malaysia. Untuk itu, sebagai peruncit kita perlu turut sama menunjukkan sokongan kita dengan menjayakan program ini," jelas Norman.

Menurut beliau, hampir 80 peratus daripada produk makanan yang dijual di Mydin ialah keluaran pengusaha tempatan meskipun ada sesetengahnya berjenama antarabangsa.

"Kempen Beli Barangan Malaysia ini lebih kepada produk yang dikilangkan di Malaysia. Ada produk yang berjenama antarabangsa tetapi dikilangkan di negara ini di mana ini membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," tambah Norman lagi.

TAG DAN IKS

Pihak Mydin juga telah maju setapak lagi dengan meletakkan tag "Beli Malaysia" atau "Produk Malaysia" bagi memudahkan pengguna mengenalpasti produk keluaran tempatan.

"Tak semua pengguna mempunyai masa untuk membaca apa yang tertera di atas produk atau menyemak di mana produk itu dikeluarkan. Dengan adanya tag ini, pengguna dapat mengenal produk itu dengan mudah."

"Kami juga mengambil banyak produk-produk keluaran PKS. Untuk produk makanan, kami mempunyai sekitar 1,500 SKU (jenis produk) dan bagi produk bukan makanan, sekitar 4,000 SKU," tambahnya.

Menurut Norman, kebanyakan produk PKS setanding dengan produk lain jika dibandingkan dari segi mutu malah ada sebahagiannya lebih baik daripada produk yang berjenama.

Beliau berkata jualan produk PKS (makanan dan bukan makanan) turut mencatat kenaikan yang membanggakan.

"Tahun lalu kami mencatat jumlah jualan sebanyak RM53.4 juta berbanding RM27 juta pada tahun 2007 dan RM16 juta pada tahun 2006. Tahun ini kami menjangkakan jualan antara RM65 hingga RM70 juta," katanya.

BANTU USAHAWAN

Di samping menjual produk PKS, Mydin turut membantu pengusaha dalam bidang pemasaran dan menyediakan kursus kesedaran dan amalan asas halal.

Untuk kursus ini, Mydin bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC).

"Lazimnya kos untuk menghadiri kursus seperti ini ialah di antara RM950-RM1,000. Tetapi pihak kami hanya mengenakan bayaran serendah RM100.00 untuk kursus dua hari termasuk kemudahan penginapan dan makan," kata Norman dengan menambah pihaknya menyediakan tempat latihan sementara HDC menyediakan tenaga pelatih.

Menurut beliau lagi, pihaknya berharap pengusaha yang mengikuti kursus ini akan dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk menghasilkan produk yang terbaik dari semua aspek termasuk mempunyai sijil halal.

"Sebagai sebuah syarikat milik Bumiputera dan orang Islam, sudah tentunya operasi kami berlandaskan konsep halal dan kami mahu Mydin menjadi pasaraya pertama mendapat pengiktirafan halal daripada HDC.

"Tujuan kursus halal ini diadakan kepada pengusaha IKS ialah sebagai usaha kami ke arah mendapatkan pengiktirafan tersebut," tambahnya.

Norman turut berpendapat Kempen Beli Barangan Malaysia dapat menyemai semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

"Kita patut mencontohi orang Jepun yang akan selalu mengutamakan barangan keluaran mereka dan menyokong kuat syarikat-syarikat tempatan. Perasaan patriotisme ini patut disemai di peringkat usia muda, bermula dalam kalangan anak-anak sekolah rendah lagi," ujarnya.

PERLU UBAH

Di sebalik peluang yang diberikan kerajaan untuk memartabatkan barangan tempatan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia, pengusaha sendiri perlu berusaha untuk meningkatkan kemampuan produk mereka bagi menguasai pasaran domestik dan seterusnya melonjak ke peringkat antarabangsa.

Seperti yang ditekankan oleh Zakaria Ismail, pemilik Metro Perda Sdn. Bhd. yang mengeluarkan produk minuman bertin berjenama 'Perda', usahawan Melayu terutamanya, perlu membuat anjakan paradigma sekiranya mahu maju.

"Jenama produk keluaran orang Melayu jarang yang dapat bertahan lama. Banyak sudah berkubur kerana paradigma, kita tak nak maju, buat ala kadar dan konsep cukup makan. Sampai bila kita nak maju?

"Ada juga kes pekedai Melayu sendiri tak yakin dengan produk keluaran orang Melayu. Kadang-kadang kami menitik air mata tengok sikap bangsa sendiri. Kami kena maki dengan bangsa sendiri apabila kami nak jumpa mereka untuk jual barang. Hakikatnya orang Melayu tak ada sifat nak bantu kaum sendiri," kata Zakaria. Produk Perda turut dipasarkan di pasar raya borong Mydin.

Menurut beliau, kementerian memang banyak memberi ruang kepada orang Melayu untuk mempromosi barangan, "tetapi sampai bila orang Melayu hendak berniaga di gerai atau menjaja di pameran atau padang ekspo?"

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan bukan sahaja berperanan melahirkan usahawan tetapi juga perlu mendidik mereka untuk menjadi usahawan yang berkualiti dan konsisten.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment