Wednesday, 29 April 2009

Ulangtahun SMKRD ke-35

28 April 2009, SMKRD menyambut ulang tahun ke-35nya dengan suasana sederhana dan dianjurkan oleh Kelab PRS yang dipimpin oleh Kr Lau Tua Beng. Majlis diadakan pada sebelah pagi dengan dimulai dengan nyanyian Negaraku, Ucapan pengetua, pemotongan kek ulangtahun.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh tuan pengetua dengan upacara pemotongan riben dan paparan banner ulang tahun ke-35 SMKRD.

Sedikit info tentang sejarah SMKRD

Sekolah Menengah Kerajaan Rosli Dhoby telah diasaskan penubuhannya pada tahun 1973. Kelahiran SMK Rosli Dhoby bukanlah di tapak sekarang dan kelahirannya juga dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kerajaan Bandar Sibu.

SMK Rosli Dhoby, pada awal penubuhannya pernah menumpang di bangunan Sekolah Menengah Bantuan Tung Hua sebelum mendapat bangunannya sendiri di tapak sekarang dengan keluasan tanah 18.55 ekar. SMKRD berpindah ke tapak baru di Jalan Deshon kira-kira 5 km dari pusat bandar pada Januari 1974.

Tahun 1975 telah menjanjikan pelbagai peristiwa bersejarah kepada riwayat hidup sekolah. Tanggal 28 APRIL 1975, menjadi titik sejarah yang sukar dilupakan. YB Menteri Pelajaran ketika itu Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan pembukaan sekolah ini. Mulai tarikh tersebut juga nama sekolah telah ditukarkan kepada nama baru "SEKOLAH MENENGAH KERAJAAN ROSLI DHOBY". Penggunaan nama baru ini dimbil sempena nama seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Sarawak kelahiran Sibu yang bernama Rosli Dhoby. Kini sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby.

Semoga SMKRD akan terus maju jaya dan menjadi sebuah sekolah ulung di Sarawak.

Hak-hak Pengguna

Pengguna yang bertanggungjawab adalah pengguna yang menyedari hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab. Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami ialah:

Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Monday, 27 April 2009

Dunia makin cemas



PERKETAT PEMERIKSAAN... PETUGAS lapangan terbang di Mexico City melakukan pemeriksaan ketat terhadap para penumpang bagi mencegah menularnya wabak virus selesema babi. Sehingga semalam, wabak itu telah mengorbankan 81 nyawa. – AFP


Jumlah kematian akibat selesema babi di Mexico semalam, meningkat kepada 81 orang berbanding 68 orang kelmarin. Wabak itu mula menular ke Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah mangsa meningkat 10 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak yang dianggap makin mencemaskan itu berpotensi untuk menjadi pusat ‘pandemik’ atau wabak yang akan merebak

di seluruh dunia.

Di Malaysia, orang ramai diminta segera berjumpa doktor jika ada simptom batuk, demam dan sakit badan.

Kementerian Kesihatan menguat kuasa serta-merta empat langkah pencegahan.

Malaysia Airports Holdings Berhad akan memantau penumpang penerbangan dari luar negara termasuk AS mulai hari ini. (Utusan online)

Wednesday, 22 April 2009

Kempen Beli Barangan Malaysia Bukan Sekadar Melepas Batuk Di Tangga



HARGA RENDAH, MUTU TINGGI... Mydin Mall USJ di Subang Jaya merupakan antara hypermarket yang banyak mempromosikan produk tempatan sebagai menyahut kempen beli barangan Malaysia. Pengurus Kanan (Merchandising) Mydin Mohamed Holdings Bhd, Norman Rajen Abdullah berkata Mydin, yang memulakan operasi pemborongan dan peruncitan lebih 50 tahun lalu, sentiasa memberi keutamaan kepada produk keluaran tempatan. Foto: BERNAMA
Kempen Beli Barangan Malaysia Bukan Sekadar Melepas Batuk Di Tangga

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Peluang untuk memasarkan produk di hypermarket pastinya menjadi impian kebanyakan usahawan yang berkecimpung di dalam bidang pengeluaran. Pastinya juga peluang ini bukan datang menggolek.

Bagi Zaleha Mohamad, pengusaha produk Roselle, impian ini menjadi kenyataan menerusi program Kempen Beli Barangan Malaysia yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Beliau mendapat kepercayaan kementerian itu untuk memasarkan produknya di Pasar raya Borong Mydin USJ, Subang Jaya semasa ekspo perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia awal Januari lalu.

"Selepas tiga tahun, baru saya berpeluang untuk melihat produk saya akhirnya mendapat tempat di atas rak hypermarket," kata Zaleha yang ditemui di Pasar raya Borong Mydin USJ, Subang Jaya baru-baru ini.

Sebelum menceburi bidang perniagaan, Zaleha pernah berkhidmat sebagai penyelidik di Bahagian Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia.

Di samping kordial Roselle yang dihasilkan di kilangnya di Seri Kembangan, syarikat Zaleha, Erarose Food Industries juga mengeluarkan produk makanan lain seperti teh, jem dan jus Roselle.

STRATEGI KERAJAAN

Justeru, Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Jan lalu ternyata bukan semata-mata sebagai strategi kerajaan untuk merancakkan pasaran domestik di tengah-tengah kemalapan ekonomi global.

Kempen itu juga turut "membuka pintu" dan "memberi tempat" kepada pengusaha seperti Zaleha dan juga ramai lagi usahawan tempatan lain yang mungkin sebelum ini terpinggir daripada arus kerancakan perniagaan moden pasar raya dan hypermarket.

Kempen ini turut memberi peluang keemasan untuk usahawan tempatan membuktikan kemampuan mereka menghasilkan produk yang berkualiti dan diterima ramai.

Bermula di Mydin Mall Subang Jaya, Ekspo Perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia kemudian beralih lokasi ke Aeon Jusco AU2 (17 Feb- 1 Mac), Giant Putra Height (2 Mac) dan Tesco Melaka (14-22 Mac).

Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu Bernama, Ekspo Perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia ini akan diteruskan di beberapa buah negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.

Mengikut perancangan yang dibuat kementerian itu, Ekspo Perdagangan yang seterusnya akan diadakan di Sandakan, Sabah (10-15 April), Terengganu (23-27 April), Johor (6-10 Mei), Kudat, Sabah (10-14 Mei), Ipoh, Perak (29 Mei-2 Jun), Tuaran, Sabah (2-7 Jun), Kuantan, Pahang (10-14 Jun) Sibu, Sarawak (27-29 Jun), Tawau, Sabah (1-5 Julai), Negeri Sembilan (23-27 Julai), Miri, Sarawak (30 Julai-1 Ogos), Bintulu, Sarawak (28-30 Ogos), Kuching, Sarawak (29-31 Okt).

"Tarikh pelaksanaan ekspo ini tertakluk kepada perubahan. Di samping itu, pihak kami juga merancang mengadakan Ekspo Perdagangan Mega Kempen Beli Barangan Malaysia di Kuala Lumpur pada Jun atau Julai.

"Diharapkan kempen ini akan menggalakkan perbelanjaan domestik dan membantu peniaga meneruskan perniagaan mereka dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini.

"Jika ini berlaku, ia pasti akan menurunkan pergantungan kita kepada eskport," katanya Mohamed Elias di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

BUKA PELUANG

Sepanjang berlangsungnya ekspo perdagangan Kempen Beli Barangan Malaysia, pelbagai produk keluaran tempatan telah dipamer dan dijual termasuk barang makanan dan minuman, kraftangan dan perabot, peralatan elektrik, automobil dan juga perkhidmatan.

Dalam pemilihan pengusaha dan produk, kementerian itu memberi keutamaan kepada produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan, di mana ekspo berkenaan diadakan di samping pembabitan pengusaha dari negeri-negeri lain.

"Fokus kami sudah tentunya memperkenal produk tempatan yang berkualiti dan berjenama tetapi tidak dikenali ramai. Kami berharap orang ramai akan sedar bahawa memang ada produk keluaran tempatan yang berkualiti dan ada di antaranya yang sudah mendapat tempat di pasaran eksport. Contohnya minuman dalam tin yang dihasilkan syarikat Metro Perda Sdn.Bhd.

"Kami juga berharap melalui usaha ini ekonomi domestik akan terus berkembang. Jika pembelian domestik tidak berlaku, mungkin ada syarikat yang terpaksa menutup operasi dan memberhentikan pekerja mereka," kata Mohamed Elias.

Bagi yang terpilih untuk mempamer dan memasarkan produk mereka sepanjang tempoh kempen ini dilaksanakan, peluang ini sebenarnya bukan mudah untuk diperoleh.

Ia amat menjimatkan kos memandangkan penyertaan ialah percuma. Menurut Mohamed Elias, pihaknya menyediakan semua kemudahan kepada pempamer seperti gerai, keperluan logistik, promosi dan pengiklanan.

"Menyewa sendiri booth di pasar raya atau hypermarket mungkin membabitkan kos yang besar dalam jangka masa seminggu atau sebulan. Di bawah program ini, mereka hanya perlu datang dan tekun menjual barang mereka," katanya.

Mohamed Elias juga menjelaskan bahawa bagi pengusaha yang masih belum mendapat peluang untuk menyertai ekspo perdagangan ini, peluang untuk berbuat demikian masih terbuka luas. Mereka hanya perlu menghubungi Bahagian Pembangunan Perniagaan kementerian itu di Putrajaya atau di pejabat negeri.

"Jika produk yang dikeluarkan memenuhi kriteria yang ditetapkan, kami akan menjemput mereka untuk mengambil bahagian di dalam program ini," kata Mohamed Elias yang menambah, kempen ini mungkin akan diteruskan pada tahun depan bergantung kepada keadaan ekonomi global.

SUDAH LAMA DIAMALKAN

Mereka yang berkunjung ke Pasar raya Borong Mydin USJ, Subang Jaya boleh melihat sendiri banyak produk buatan Malaysia yang memenuhi rak-rak di hypermarket itu.

Rak-rak khas turut disediakan untuk menempatkan produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengikut negeri di Malaysia.

Usaha yang dibuat oleh pengurusan Mydin ini bagaimanapun menurut Norman Rajen Abdullah, Pengurus Kanan (Merchandising) Mydin Mohamed Holdings Berhad bukanlah satu perkara baru.

Jelasnya, Mydin yang memulakan operasi pemborongan dan peruncitan lebih 50 tahun yang lalu sentiasa memberi keutamaan kepada produk keluaran tempatan termasuk IKS.

"Kami sudah lama mengamalkan prinsip membantu pengusaha tempatan. Jika kami tidak menyokong mereka, siapa lagi yang akan berbuat demikian? Kami tahu pengusaha Bumiputera khususnya berhadapan dengan pelbagai halangan atau kerenah untuk memasuki pasar raya atau hypermarket.

"Pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen ini di tengah-tengah krisis ekonomi bagi membantu mengurangkan kesannya terhadap rakyat. Kerajaan juga membelanjakan wang yang banyak untuk mempromosi kempen ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang barangan buatan Malaysia. Untuk itu, sebagai peruncit kita perlu turut sama menunjukkan sokongan kita dengan menjayakan program ini," jelas Norman.

Menurut beliau, hampir 80 peratus daripada produk makanan yang dijual di Mydin ialah keluaran pengusaha tempatan meskipun ada sesetengahnya berjenama antarabangsa.

"Kempen Beli Barangan Malaysia ini lebih kepada produk yang dikilangkan di Malaysia. Ada produk yang berjenama antarabangsa tetapi dikilangkan di negara ini di mana ini membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," tambah Norman lagi.

TAG DAN IKS

Pihak Mydin juga telah maju setapak lagi dengan meletakkan tag "Beli Malaysia" atau "Produk Malaysia" bagi memudahkan pengguna mengenalpasti produk keluaran tempatan.

"Tak semua pengguna mempunyai masa untuk membaca apa yang tertera di atas produk atau menyemak di mana produk itu dikeluarkan. Dengan adanya tag ini, pengguna dapat mengenal produk itu dengan mudah."

"Kami juga mengambil banyak produk-produk keluaran PKS. Untuk produk makanan, kami mempunyai sekitar 1,500 SKU (jenis produk) dan bagi produk bukan makanan, sekitar 4,000 SKU," tambahnya.

Menurut Norman, kebanyakan produk PKS setanding dengan produk lain jika dibandingkan dari segi mutu malah ada sebahagiannya lebih baik daripada produk yang berjenama.

Beliau berkata jualan produk PKS (makanan dan bukan makanan) turut mencatat kenaikan yang membanggakan.

"Tahun lalu kami mencatat jumlah jualan sebanyak RM53.4 juta berbanding RM27 juta pada tahun 2007 dan RM16 juta pada tahun 2006. Tahun ini kami menjangkakan jualan antara RM65 hingga RM70 juta," katanya.

BANTU USAHAWAN

Di samping menjual produk PKS, Mydin turut membantu pengusaha dalam bidang pemasaran dan menyediakan kursus kesedaran dan amalan asas halal.

Untuk kursus ini, Mydin bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC).

"Lazimnya kos untuk menghadiri kursus seperti ini ialah di antara RM950-RM1,000. Tetapi pihak kami hanya mengenakan bayaran serendah RM100.00 untuk kursus dua hari termasuk kemudahan penginapan dan makan," kata Norman dengan menambah pihaknya menyediakan tempat latihan sementara HDC menyediakan tenaga pelatih.

Menurut beliau lagi, pihaknya berharap pengusaha yang mengikuti kursus ini akan dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk menghasilkan produk yang terbaik dari semua aspek termasuk mempunyai sijil halal.

"Sebagai sebuah syarikat milik Bumiputera dan orang Islam, sudah tentunya operasi kami berlandaskan konsep halal dan kami mahu Mydin menjadi pasaraya pertama mendapat pengiktirafan halal daripada HDC.

"Tujuan kursus halal ini diadakan kepada pengusaha IKS ialah sebagai usaha kami ke arah mendapatkan pengiktirafan tersebut," tambahnya.

Norman turut berpendapat Kempen Beli Barangan Malaysia dapat menyemai semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.

"Kita patut mencontohi orang Jepun yang akan selalu mengutamakan barangan keluaran mereka dan menyokong kuat syarikat-syarikat tempatan. Perasaan patriotisme ini patut disemai di peringkat usia muda, bermula dalam kalangan anak-anak sekolah rendah lagi," ujarnya.

PERLU UBAH

Di sebalik peluang yang diberikan kerajaan untuk memartabatkan barangan tempatan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia, pengusaha sendiri perlu berusaha untuk meningkatkan kemampuan produk mereka bagi menguasai pasaran domestik dan seterusnya melonjak ke peringkat antarabangsa.

Seperti yang ditekankan oleh Zakaria Ismail, pemilik Metro Perda Sdn. Bhd. yang mengeluarkan produk minuman bertin berjenama 'Perda', usahawan Melayu terutamanya, perlu membuat anjakan paradigma sekiranya mahu maju.

"Jenama produk keluaran orang Melayu jarang yang dapat bertahan lama. Banyak sudah berkubur kerana paradigma, kita tak nak maju, buat ala kadar dan konsep cukup makan. Sampai bila kita nak maju?

"Ada juga kes pekedai Melayu sendiri tak yakin dengan produk keluaran orang Melayu. Kadang-kadang kami menitik air mata tengok sikap bangsa sendiri. Kami kena maki dengan bangsa sendiri apabila kami nak jumpa mereka untuk jual barang. Hakikatnya orang Melayu tak ada sifat nak bantu kaum sendiri," kata Zakaria. Produk Perda turut dipasarkan di pasar raya borong Mydin.

Menurut beliau, kementerian memang banyak memberi ruang kepada orang Melayu untuk mempromosi barangan, "tetapi sampai bila orang Melayu hendak berniaga di gerai atau menjaja di pameran atau padang ekspo?"

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan bukan sahaja berperanan melahirkan usahawan tetapi juga perlu mendidik mereka untuk menjadi usahawan yang berkualiti dan konsisten.

-- BERNAMA

Sunday, 19 April 2009

Tidak lagi bergantung 100% peperiksaan - TPM


KUALA LUMPUR 18 April – Sistem pendidikan negara bakal melalui transformasi penting tahun depan apabila tidak lagi bergantung 100 peratus kepada peperiksaan bagi menentukan gred pelajar.

Untuk itu, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) akan diperkenalkan yang memasukkan kecerdasan akademik, sahsiah pelajar dan penglibatan dalam kokurikulum sebagai penentu gred peperiksaan awam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dimulakan dengan murid prasekolah dan tahun satu.

SPPK akan menyebabkan penumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan.

“Langkah ini secara keseluruhannya akan menyediakan modal insan yang holistik,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong sempena pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Tahap pencapaian pelajar buat masa ini diukur 100 peratus kepada prestasi mereka ketika menjawab soalan peperiksaan akhir tahun dan awam.

Ka Siong pada sidang akhbar selepas itu berkata, SPPK akan meletakkan penekanan terhadap proses pembelajaran secara menyeluruh dan bukan setakat menjawab soalan peperiksaan sahaja.

Katanya, langkah itu menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga kelihatan mengabaikan aspek-aspek lain yang sama penting.

Malah, kata beliau, untuk jangka panjang, kementerian juga sedang menilai sama ada perlu mengadakan sehingga tiga peperiksaan awam.

Alimuddin ketika ditemui menambah, di bawah SPPK, pemberian markah untuk pelajar akan terdiri daripada empat punca iaitu:

- Psikometri (sikap atau sahsiah seseorang pelajar)

- Kokurikulum

- Berasaskan sekolah (peperiksaan mingguan dan bulanan)

- Berpusat (Lembaga Peperiksaan menyediakan soalan standard peperiksaan di semua sekolah).

Jelas beliau, melalui SSPK, penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan lebih maksimum.

Katanya, pihak kementerian mencadangkan 70 peratus markah untuk UPSR adalah berasaskan pentaksiran dan hanya 30 peratus melalui peperiksaan umum.

Bagi PMR pula, katanya, 50 peratus berdasarkan pentaksiran dan 50 peratus lagi dalam peperiksaan manakala untuk SPM, 30 peratus berdasarkan pentaksiran serta bakinya melalui peperiksaan.

“Untuk SPM kita menumpukan lebih sedikit pada peperiksaan kerana keputusan itu penting bagi penempatan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Jelas beliau, projek perintis SSPK telah dilaksanakan melibatkan 50 sekolah pada tahun lalu dan 500 lagi pada tahun ini.

Katanya, maklum balas yang diterima termasuk daripada para guru adalah amat positif.

Beliau berkata, pengenalan SSPK tidak akan membebankan para guru kerana sebahagian pendekatan sistem itu sudah pun dimulakan.

“Sekarang ini pun dah buat, kita ada ujian mingguan, ujian bulanan dibuat oleh guru, tetapi semuanya hanya simpan di sekolah dan tidak dimasukkan dalam keputusan akhir peperiksaan.

“Macam itu juga dengan kokurikulum, sekarang pun ada pelajar jadi pengawas, main bola untuk sekolah, cuma tidak dimasukkan secara rasmi dalam penentuan gred peperiksaan awam pelajar,” katanya.

Jelasnya, sistem pentaksiran akan dimulakan dari tahun satu hingga enam untuk UPSR, tingkatan satu hingga tiga bagi PMR manakala tingkatan empat dan lima untuk SPM.

Katanya, kumpulan pertama pelajar yang akan dinilai UPSR mereka menggunakan kaedah SPPK ialah pada tahun 2015 iaitu apabila murid tahun satu 2010 menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.

Jelas Alimuddin, beliau yakin SPPK akan dapat mencapai objektifnya kerana ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. (Utusan Online)

Friday, 17 April 2009

SMK Rosli Dhoby juarai Bahas Ala parlimen Sarawak


Kita bangkang sekeras-kerasnya.... Aksi Bahas ala Parlimen

Kita bangkang sekeras-kerasnya.... Aksi Bahas ala Parlimen

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby muncul juara Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

SMK Rosli Dhoby yang dibarisi oleh Fiona Maurice, Marcos Pope, Ainina Diana, Lizza Yusuf dan Hamizah muncul juara menerusi bahas berjudul Kestabilan Politik Peneraju Utama Kestabilan Ekonomi dan Sosial Negara sekaligus menewaskan PPD Bintulu yang diwakilili oleh SMK Bandar Bintulu pada pertandingan akhir tersebut.

Dengan memegang peranan sebagai pihak pembangkang menerusi pertandingan ini, SMK Rosli Dhoby berhasil membawa pulang sebuah piala kejuaraan, piala iringan serta sijil untuk setiap seorang.

Hadiah kepada para pasukan juara hingga pemenang ketiga telah disampaikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Ellen @ Manium Engang yang sekaligus merasmikan majlis penangguhan pertandingan tersebut.

Terdahulu sejumlah 10 buah pasukan PPD bagi setiap bahagian dalam negeri ini telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman semenjak 15 April lalu.

10 buah pasukan terbabit adalah PPD Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Kapit. PPD Limbang bagaimanapun tidak menghantar pasukan mereka pada pertandingan tersebut.

Pada peringkat separuh akhir pertandingan tersebut, pasukan PPD Sibu yang diwakili oleh SMK Rosli Dhoby telah berjaya menyingkirkan saingan SMK Wira Penrissen dari PPD Samarahan untuk mara ke peringkat akhir manakala PPD Bintulu menerusi SMK Bandar Bintulu pula menyingkirkan saingan SMK Bahasa Malaysia dari PPD Betong.

Pasukan tuan rumah iaitu SMK Sri Aman yang mewakili PPD Sri Aman bagaimanapun tewas dalam saingan peringkat awal Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak itu. (Sarawak Update)

Sunday, 12 April 2009

Tergamam terima bil air RM200,000



SUAMI Salina, Iwan Zakuan Abu Seman menunjukkan bil air mencecah RM200,000 yang diterima baru-baru ini.


BANGI – “Harga rumah saya pun baru RM102,500 tetapi bil air saya mencecah RM200,000.’’

Demikian aduan seorang suri rumah di sini yang begitu terkejut apabila menerima bil air yang dianggap tidak masuk akal itu tiga hari lalu.

Semuanya berlaku selepas dia meminta pelarasan bil bulan terdahulu yang dianggap agak tinggi berbanding bil biasa setiap bulan.

“Pelik betul, setelah minta pelarasan, bil yang dikenakan makin melampau pula jumlahnya,’’ katanya.

Salina Salleh, 36, yang menetap di Apartmen Intana Ria 2, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi berkata, secara purata penggunaan air di rumahnya sekitar RM40 setiap bulan dan bil terakhir pada 31 Januari hanya berjumlah RM9.69.

Namun selepas menerima bil berjumlah RM204.51 pada bulan Februari lalu, beliau bertindak menghubungi pihak bertanggungjawab untuk membuat pelarasan semula kerana bil tersebut lebih tinggi daripada penggunaan sepatutnya.

“Apabila menerima bil baru berdasarkan bacaan terakhir pada 3 Mac lalu bil tertunggak itu mencecah RM200,054.50,’’ katanya ketika ditemui di sini semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan masalah bil air yang dihadapi oleh 1,000 penduduk sekitar jajahan Pasir Puteh, Kelantan yang bingung kerana terpaksa menanggung bebanan caj bil air yang tinggi sehingga dua kali ganda setiap bulan.

Penduduk terbabit mendakwa masalah tersebut dipercayai berlaku akibat tekanan udara mampat pada saluran paip yang memberi kesan kepada bacaan meter selepas berlaku gangguan bekalan air sejak dua minggu lalu.(KOSMO)

Thursday, 9 April 2009

AJK Kelab Pengguna SMKRD 2009

Pengerusi
Simon ak Sumping

Naib Pengerusi
Mohd Taha b Othman

Setiausaha
Christy ak Chawat

Penolong Setiausaha
Felissia ak Entri

Bendahari
Shirley ak Anderson Lampam

Ahli Jawatankuasa
Trasey Veneyssa ak Nicholas
Elijah ak Seman
Roziana Bawang Bilong
Mohd Akmal
Khalid b Muhiddin

Pemandangan di SMKRD

SMK Rosli Dhoby merupakan antara sekolah menengah kebangsaan terawal di bandar Sibu. Sebelum ini SMKRD dikenali sebagai Sekolah Menengah Kerajaan Rosli Dhoby. Sekolah ini terletak di Jalan Deshon iaitu kira-kira 6km dari pusat bandar Sibu.

Pintu masuk SMK Rosli Dhoby

Upacara menaikkan bendera yang diadalah pada setiap hari sebelum memulakan pelajaran.

Perhimpunan harian

Kawasan letak kenderaan

Salah sebuah blok kelas

Taman

Aktitivi luar

Bilik guru

Tuesday, 7 April 2009

Sejarah SMKRD

Sekolah Menengah Kerajaan Rosli Dhoby telah diasaskan penubuhannya pada tahun 1973. Kelahiran SMK Rosli Dhoby bukanlah di tapak sekarang dan kelahirannya juga diberi nama yang lain iaitu Sekolah Menengah Kerajaan Bandar, Sibu.
SMK Rosli Dhoby, pada awal penubuhannya pernah menumpang di bangunan Sekolah Menengah Bantuan Tung Hua sebelum mendapat bangunannya sendiri di tapak sekarang dengan keluasan tanah 18.55 ekar. la berpindah ke tapak baru sekarang di Jalan Deshon kira-kira 5 km dari pusat bandar pada Januari 1974. Terima kasih di atas jasa baik dan kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan dan SMB Tung Hua selama SMK Rosli Dhoby menumpang di situ selama setahun.
Pada peringkat permulaan sekolah ini iaitu pada tahun 1973, hanya dua buah kelas yang berpengantar Bahasa Inggeris ditawarkan dengan empat orang guru dan dua kakitangan lain. Guru besar yang pertama ialah Encik Shee Fong Yong. Pelajar-pelajar sulung sekolah ini berjumlah enam puluh dua orang sahaja. Jumlah ini meningkat kepada tiga ratus lapan belas orang pada tahun 1974 dengan dua belas orang guru. Penambahan pelajar semakin pesat dan bertambah sekali ganda pada tahun 1975 iaitu dengan kehadiran enam ratus sembilan puluh satu [691] pelajar dengan 27 orang guru. Pada tahun 1975 juga dua buah kelas Peralihan berpengantar Bahasa Malaysia telah ditawarkan di sekolah ini demi memenuhi tuntutan kemajuan pendidikan semasa. Pada tahun 1976 sekolah ini menerima kumpulan pertama pelajar asrama.
Penghujung tahun 1975, pelajar sulung sekolah ini menduduki peperiksaan awam yang pertama iaitu, "Sarawak Junior Examination" dan pada tahun 1976 kumpulan pertama pelajar yang berpengantar Bahasa Melayu menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP)

Tahun 1975 telah menjanjikan pelbagai peristiwa bersejarah kepada riwayat hidup sekolah. Tanggal 28 APRIL 1975, menjadi titik sejarah yang sukar dilupakan. Kehadiran dan kesudian YB Menteri Pelajaran ketika itu Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan
pembukaan sekolah ini. Mulai tarikh tersebut juga nama sekolah telah ditukarkan kepada nama baru "SEKOLAH MENENGAH KERAJAAN ROSLI DHOBY". Penggunaan nama baru ini adalah sempena nama seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Sarawak yang bernama Rosli Dhoby.
Pada tahun 1977, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rosli Dhoby telah ditubuhkan untuk membantu usaha pihak sekolah untuk memberi didikan yang sebaik mungkin kepada para pelajar. Dalam tahun yang sama, Koperasi Rosli Dhoby Berhad telah diwujudkan.
Seramai 70 orang pelajar dalam jurusan sastera telah menduduki peperikasaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) buat julung kalinya pada tahun 1986. Sementara kumpulan pelajar tingkatan enam jurusan sains mula diterima pada tahun 1988.